Ismail Sabri Yaakob
Pada 24 Julai yang lalu saya telah merasmikan Majlis Kemuncak Sambutan Bulan Pengguna Kebangsaan 2010 yang telah diadakan di perkarangan Dataran Pahlawan Melaka.

Untuk makluman sambutan Hari Pengguna Malaysia merupakan acara tahunan yang dijalankan oleh Kementerian sejak tahun 2001 iaitu pada 26 Julai setiap tahun. Pada tahun ini, ianya disambut selama sebulan iaitu mulai 1 – 31 Julai. Namun, program kepenggunaan bukanlah hanya disambut dalam masa sebulan ini tetapi ianya tetap akan diadakan dan dijalankan secara berterusan sepanjang tahun.

Tujuannya antara lain adalah bagi membolehkan aktiviti dan program dilaksanakan dalam jangka masa yang lebih panjang dan dapat melibatkan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan dan swasta , pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara.

Tema Kuasa Pengguna : 1 Pengguna 1 Suara masih dikekalkan pada tahun ini, yang merupakan kesinambungan daripada tema yang telah digunakan pada tahun 2009.
Tema ini digunakan kerana ia dilihat masih relevan dengan keadaan semasa dan ia selaras dengan usaha KPDNKK untuk terus memartabat dan memperkasakan pengguna melalui pendidikan kepenggunaan.

Kuasa yang dimiliki oleh seseorang pengguna boleh mencorakkan pola permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan. Pengguna juga berkuasa memastikan penipuan, penyelewangan dan penindasan oleh peniaga tidak berlaku sewenang-wenangnya.
Pada tahun ini, Kementerian saya dengan lebih agresif telah turun padang untuk mengadakan Program Kepenggunaan Luar Bandar di 7 buah kampung di Kelantan, Terengganu, Perak, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak.

Ini adalah salah satu cara bagi kerajaan mendekati rakyat sehingga ke akar umbi dan menyampaikan ilmu kepenggunaan secara terus kepada golongan sasaran iaitu masyarakat di kawasan luar bandar kerana golongan inilah yang selalu tertipu oleh peniaga yang rakus dan tamak. Pada masa yang sama, ianya memberi ruang kepada pegawai-pegawai kementerian untuk memahami isu kepenggunaan setempat.

Program seumpama ini dapat menggalakkan masyarakat luar bandar untuk menghayati dan mengamalkan konsep kepenggunaan dalam kehidupan seharian mereka. Kita, khususnya, masyarakat pengguna harus memahami konsep di mana adanya transaksi di antara pembeli dan penjual, di mana adanya kegiatan ekonomi, maka di situlah akan adanya isu kepenggunaan. Ini bermakna adalah menjadi satu kemestian bagi setiap masyarakat pengguna untuk memahami dan seterusnya mempraktikkan ilmu kepenggunaan bagi menjamin kesejahteraan dan kesinambungan kehidupan yang sempurna.

`Eko-Sistem’ kepenggunaan adalah penting bagi memastikan bahawa Malaysia akan mencapai satu tahap kesedaran kepenggunaan yang tinggi. Bagi mewujudkan eko-sistem ini ia memerlukan peranan yang selari oleh semua pihak sama ada kerajaan, peniaga dan juga pengguna sendiri.

Saya berpandangan bahawa, pra-syarat pertama dalam mewujudkan eko-sistem ini adalah peranan kerajaan melalui pewujudan perundangan perlindungan pengguna yang mantap.
Dalam usaha memantapkan perundangan pengguna, tiga (3) akta utama yang secara langsung melibatkan pengguna telah dipinda iaitu Akta Pelindungan Pengguna 1999, Akta Sewa Beli dan Akta Jualan Langsung yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Selain itu, KPDNKK juga telah membentangkan dua (2) rang undang-undang yang baru iaitu Rang Undang-Undang Persaingan 2010 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Persaingan 2010. Rang Undang-Undang tersebut, walaupun bertujuan untuk mengawal salah laku peniaga dalam konteks mewujudkan persaingan yang sihat, tetapi ia juga mengambil kira isu-isu kepenggunaan, produk dan pilihan yang lebih luas kepada pengguna.

Untuk mencari satu titik noktah dalam masalah kepenggunaan bukanlah mudah. Walaupun setinggi mana kesedaran yang ada di kalangan pengguna, namun yang boleh memberikan hak kepada mereka terutamanya dalam soal tuntutan dan ketidakpuasan hati adalah peniaga. Peniaga yang sedar akan tanggungjawab mereka dan beretika adalah pra-syarat kedua dalam membentuk eko-sistem kepenggunaan yang mantap.

Secara purata, KPDNKK menerima sejumlah 800 aduan sebulan yang melibatkan kategori penipuan perkhidmatan, penipuan harga, tiada tanda harga, cetak rompak, skim cepat kaya dan lain-lain. Pada tahun 2009, sejumlah 9,774 aduan telah diterima dan pada tahun 2010 (sehingga 21 Julai) sejumlah 6,661 aduan telah diterima. Saya percaya, jumlah aduan ini dapat dikurangkan sekiranya pra-syarat kedua tersebut dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Secara sedar atau tidak, aduan-aduan ini boleh mencerminkan akauntabiliti sesebuah organisasi dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna. Adalah menjadi harapan saya sekiranya semua sektor secara berterusan meningkatkan produktiviti menerusi inovasi dari segi proses penyediaan barangan dan perkhidmatan serta model perniagaan yang mesra pengguna.

Peningkatan produktiviti dan kualiti ini boleh dicapai melalui demand-driven iaitu permintaan dari konsumer terhadap kualiti perkhidmatan yang lebih baik dan penyampaian perkhidmatan yang cekap. Pada masa yang sama, pengguna perlu diberi kesedaran terhadap hak mereka untuk mendapatkan produk yang berkualiti dan pada harga yang berpatutan. Pengguna yang berpengetahuan akan dapat mempengaruhi jenis dan kualiti sesuatu barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan di pasaran. Inilah yang saya maksudkan sebagai kuasa pengguna untuk mempengaruhi pasaran dalam konteks 1 pengguna 1 suara.

Pra-syarat ketiga adalah dari aspek pembentukan sebuah masyarakat pengguna yang mampu melindungi diri sendiri atau perlindungan kendiri. Ia adalah tahap di mana setiap pengguna akan berupaya untuk melindungi diri mereka sendiri dalam satu eko-sistem kepenggunaan yang efisien, beretika, adil dan berasaskan mekanisme redress yang sistematik, murah, mudah, dan cepat. Inilah eko-sistem yang telah lama wujud di kebanyakan negara-negara maju.
0 Responses